Cerpen: Revolusi cinta, Xuanwa

Posted: Februari 18, 2008 in All About The Love Revolution

Oleh Nimoiz TY

S-A-T-U

DAUN kasuarina tampak berbalam-balam dibalikkan sapaan angin Xuanwa. Angin yang bersatu di halaman keikhlasan mengirimkan salam pada batu-batu tegel, menyapa mihrab Masjid Niujie malah membisikkan rindu lalu bersimpuh di Selat Pohai. Pun, angin nan perkasa mustahil dapat mentafsir selat rindu, sementelah untuk menebak kedalaman sagara cinta.

Kalaupun jasad terlontar dalam Selat Pohai, sudah pasti aura cinta tulus akan meresapkan keasinan yang ada pada molekul-molekul air. Malah pekikan ombak riuh yang mencorakkan Teluk Angsana betah akan mengomel begini; Hadirlah, ini revolusi cinta, dunia yang bakal diwangikan dengan perfum bunga-bunga, dunia yang akan diwarnakan dengan tujuh juzuk bianglala kata-kata.

Segala-galanya ada di daerah ini. Bait kalimat tidak akan tertegun. Akan disampaikan terus tanpa terhukum atau terpiat dengan cemeti iri. Roh pun seakan-akan terjerkah, lalu menggigil diam. Layangkan kartu cinta, layangkan.

Cinta adalah keriangan! Oh, alangkah!

D-U-A

Suhu di daerah Xuanwa menjadi sejuk amat. Kesejukan yang sukar dikisit menjentik-jentik roma di lengan. Dia hanya menyongket lirikan ke anjung wajah si gadis yang berseri-seri teduh. Terpana dia sekejap menatap gebu pipi si gadis pemilik nama yang sinonim dengan puteri China suatu masa dahulu, Puteri Hang Li Po. Elok namanya, seelok budi dan pesona afalnya. Jerawat batu sebiji semacam segan untuk beradu lelah di pipinya. Raut wajahnya bujur telur sebiji. Hidungnya sederhana mancung mengukuhkan lagi kasut cermin mata yang menapak di situ. Padat!

Dia memulakan bicara.

Cinta bukan mainan, Li Po. Angin menerpa ke ruang tengah. Berhimpun dalam kolong diam. Bersatu dalam segan.

Walaupun latar sosiobudaya kita berbeza, kita tetap juga manusia, Li Po. Kita tetap kita, tanpa terikat dengan lain-lain citra. Tanpa cinta, kita bukan kita.

Li Po masih berdiam. Langsung tidak betah melontarkan secangkir idealisme. Masih buntu. Entah mengapa, gadis yang sememangnya lincah dalam menyusun kalimat cinta ini tiba-tiba jadi manusia bisu. Bisu untuk berkata-kata. Barangkali, kerancuan yang berpusing di daerah neuron fikirnya sukar untuk menghambat diam.

Angin sesekali berdesing. Matanya melukiskan titik pada kubah Masjid Dongsi Beijing, masjid yang berdiri megah sejak zaman Dinasti Song, seputar era pentadbiran Zhi Dao lewat tahun 996. Kukuh sekali. Kombinasi seni bina pengaruh Arab dan istana China jelas terserlah. Tegap meniti sirah ketamadunan.

Li Po, rasakan kenyamanan ini. Sebenarnya, angin ini adalah angin kecewa yang pasti meranapkan institusi cinta yang bakal kita bangunkan bersama kalau kita musnahkan sebuah ketulusan.

Li Po,

Fir,

Li Po,

Senyap! Masing-masing masih berpandangan.

T-I-G-A

Revolusi I: Sebuah pleminari fantasi � Cinta ada di mana-mana. Ketika malam siang sirna, bintang cerlang pemangkin revolusinya. Diam tersapa kirani indah, itulah cinta. Prahara yang merusuh, revolusi cinta. Ombak yang memukul, revolusi cinta. Malah semua yang maya bukan khayali, tapi revolusi. Malam jadi mati. Siang jadi mati. Cinta akan tetap menunjuk diri. Mustahil bersembunyi. Hitam putih yin dan yang, ikatan yang bersatu. (Konsepsi: Cinta adalah ikatan).

Cinta perlu kebebasan Fir.

Jadi?

Perlu ada segunung kepercayaan yang akan mengikat sebuah ketulusan bersama. Lihat Fir, bintang yang berkerdip satu itu sebenarnya masih dipagari lain-lain bintang. Ia tidak keseorangan. Kita yang tidak nampak Fir. Sedangkan itu bukanlah khayali.

Jadi, kaumeragui cintaku? Meragui ketulusan nubariku?

Kadang-kadang kita perlu ada ragu Fir. Bukankah ragu itu tanda kita ambil berat?

Kata-katanya tersekat. Fikirannya tersasar. Jiwanya menggeletar. Nyalinya semakin pahit. Meresap melalui pembuluh darah. Bersembunyi di sebalik kulit. Hampa. Dia kembali berkata-kata. Rona semangat tersaut.

Kita bukanlah Shakespeare, Li Po. Terlalu mengagungkan cinta. Soalnya, di mana keagungan cinta? Apa pula cinta agung? Li Po!

Angin menggeletar. Diam beraja di kepala. Bisu bersultan di bibir delima. Sesekali mereka bersaksi amarah. Ada denyut cemburu.

Angin sekali lagi merusuh. Menampar mihrab masjid Niujie. Daerah Xuanwa jadi bening.

Revolusi II : Gerakan Pembaharuan Ching 1901-1911. Kronologinya begini; pada dekad pertama abad ke-20, Kerajaan Ching telah melancarkan sebuah gerakan pembaharuan dalam meningkat dan memodenkan semenanjung China. Januari 1901 pada tarikh keramat 29, Maharani Dowager telah mengumumkan dasar menggunakan ciri-ciri baik barat dalam mengatasi kelemahan wilayah China. Marsum memorial telah dihantar ke Istana Ching. Sejarah terlukis. Julai 1901, tiga pucuk surat peringatan telah dikemukakan oleh Jeneral Liu Kun- I (Kiangsi-Anhwei-Kiangsu) dan Chong Chih-tung (Hunan-Hupei). Keputusan sebuah kesungguhan, hampir kesemua usul dipersetujui. (Konsepsi : Cinta kepada negara).

E-M-P-A-T

Runcing tangan jari manis Li Po ditatapnya. Angin menyisir ceria, mengucup wajah putih Li Po. Li Po pula masih mencuka. Dia tahu amat, marah Li Po hanya seketika. Prahara marahnya hanya sebentar. Ceria akan kembali pada wajahnya. Malah dia yakin amat, ceria angin yang bersatu dengan ceria wajah Li Po akan menyemarakkan lagi sebuah kuntum senyuman. Bersipongang membaca ketawa. Keyakinan terbancuh sekitar serebrumnya yang mustahil gadis itu akan mencempelongkan dirinya ke laut duka buat selama-lamanya. Itu dia yakin amat.

Aku takut Fir. Li Po memulakan kata. Bening tidak lagi beraja.

Takut? Apa yang kaunak takutkan? Ada geletek gelak pada wajah Firhan. Jelas terbaca oleh Li Po yang bersungguh-sungguh.

Fir, aku tak mahu kerana cinta kita, ada wilayah yang akan menjujuh dengan darah. Aku tak mahu Fir, Wilayah Xuanwa ini bermandi darah. Aku tidak mahu berlakunya perulangan Gerakan Boxer. Yang telah membunuh murba asing dan China Kristian di Manchuria, malah di Shansi juga. Bukan setakat itu Fir, habis gereja dan landasan kereta api musnah. Aku tak mahu Fir, tak mahu!

Hah… hah… hah…. Lucu. Ketawa tersimbah keluar. Dia sekali lagi digeletek nakal.

Kaukejam Fir!

Li Po,

Fir!

Matahari pijar mencuri mengucup keharuman yang ada pada wajah Li Po. Keharuman kasturi dari Wilayah Tient Sin. Awan putih kapas berarak ceria.

L-I-M-A

Ini bukanlah kesementaraan yang ghairah menelangkup saji kasih sayang. Bukan juga keterhadang ruang maksyuk yang bakal menjarakkan riak mawaddah. Hakikatnya, tiada siapa yang berhak menghukum bila mana hadirnya bianglala cinta. Juzuk cinta ada warna-warni indah.

Berjanji padaku Fir. Berjanji yang kau tidak akan mensia-siakan hidupku. Fir, mengikat cinta bersamamu seolah-olah aku telah meninggalkan Wilayah Xuanwa, wilayah kelahiranku,

Jangan cakap begitu Li Po,

Berjanjilah juga yang kau tidak akan mengecewakan harapan keluargaku,

Li Po! Suasana jadi hiba. Air mata Li Po tumpah tanpa tertahan.

Revolusi III : Revolusi China 1911 � Impak revolusi ini, Dinasti Manchu yang menerajui China sejak 1644 telah berjaya digulingkan. Wujud kepercayaan pada awal abad ke-20 bahawa Dinasti Manchu telah hilang mandat dari syurga untuk terus memerintah China. Sun Yat Sen, pemimpin Gerakan Revolusioner yang berjaya menggulingkan Kerajaan Manchu pula telah dilantik sebagai Presiden sementara Republik China pada 29 Disember 1911 di Nanking. Sun Yat Sen dianggap sebagai bapa revolusi China. (Konsepsi : Cintakan negara, cintakan bangsa).

E-N-A-M

Mata Firhan bersimpul dalam mata Li Po. Mata Li Po bersila dalam mata Firhan. Masing-masing berpandangan. Li Po yang kemalu-maluan melarikan mata ke genting lentik Masjid Niujie. Sekali lagi mereka disuntik bisu. Bulan redup sudah lama menjamah lantai Xuanwa. Mereka hanya mengemam resah, tapi gagal untuk menelannya. Nyata ia terlalu pahit untuk melepasi kerongkong.

Li Po, ada duka di wajahmu,

Kadangkala duka itu perlu,

Untuk apa?

Kalau kedukaan itu kau anggap kesakitan, maka duka jugalah ubatnya. Kedukaan itu bukanlah tribulasi besar sebuah cinta,

Kau memang bijak berfalsafah Li Po,

Kau yang sememangnya nakal Fir! Angin menjamah.

Lihat bintang itu Li Po. Cemerlang sungguh,

Bintang cemerlang, bintang hatiku,

Kaulah bintangku. Bintang tersengih. Kegembiraan terpancar.

T-U-J-U-H

Li Po, ada getar di wajahmu,

Inilah getaran cintaku padamu,

Revolusi IV: Hubungan China Barat 1860-1875. Pada tahun 1860-1875, kuasa-kuasa dari Barat telah bekerjasama untuk mengekalkan kedaulatan Wilayah China. Dalam tempoh ini, Barat bersetuju untuk hanya memelihara hak-hak yang telah diperoleh melalui perjanjian-perjanjian dengan China. 1861, menteri-menteri kuasa Barat seperti Anson Burlingame, Jeneral l. De balluseck dan M. Berthemy telah menetap dan menjalankan urusan diplomatik di Peking. Kerjasama terjalin. (Konsepsi: Cinta perlukan ikatan).

Li po, aku akan menetap di sini,

Hanya kerana cinta kita?

Ya Li Po, kaulah bungaku. Inilah revolusi cintaku padamu. Tapi Li Po, kita mesti sesekali pulang ke tanah kelahiranku,

Tidak semua bunga wangi Fir, ada yang beracun,

Tapi kau tetap bungaku. Aku sanggup mati di tangan cintamu,

Kau memang gila Fir!

L-A-P-A-N

Li po, aku ingin melamarmu,

Kau memang gila Fir, gila sungguh-sungguh,

Cintaku yang gila,

Kau memang degil Fir,

Cintaku yang degil,

Kaumemang nakal Fir,

Cintaku yang nakal,

Revolusi V: Sebuah revolusi cinta � Cinta tidak perlukan revolusi. Revolusi yang perlukan cinta. Semuanya akan menjadi cinta. Bintang jadi cinta. Bulan jadi cinta. Siang jadi cinta. Malam jadi cinta. Tiada revolusi dalam cinta. Yang perlu hanyalah kejujuran dan keikhlasan. Hasilannya, lahirlah cinta tulus. Segagah ikatan Adam dan Hawa. Seteguh titipan Uda dan Dara. Secekal Romeo dan Juliet. Cinta yang sebenar-benar cinta. Cinta pada agama, cinta pada bangsa, cinta pada negara, malah cinta sesama manusia. (Konsepsi: Cinta pada segala-galanya).

Fir!

Li Po!

Fir!

Li Po! Gadis itu menangis.

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s